Bunga dan Rama-Rama

Tentang hidup 13 Comments

Assalamulaikum, Salam Sejahtera dan Salam Muhibbah

Semoga anda semua sihat dan bahagia selalu.

Hari ini Ktom ingin kongsikan satu cerita yang Ktom baca beberapa ketika dulu tapi dah lupa sumbernya dari mana.   Ceritanya begini :-

Seorang wanita berdoa kepada Allah agar diberikan bunga dan rama-rama.  Maklumlah wanita memang suka pada keindahan dan berjiwa sentimental.  Hehehe….jangan lupa lelaki juga ada yang terlalu sentimental.  Tetapi Allah telah memberinya kaktus dan ulat.  Beliau  berasa amat sedih dan keliru serta tidak faham mengapa pemberianNYA berbeza daripada permintaannya.

Kemudian beliau berfikir : Allah mempunyai terlalu ramai umat untuk diuruskan.   Jadi beliau memutuskan untuk tidak mempersoalkannya.

Beberapa bulan selepas itu, wanita ini memikirkan semula permohonan doanya yang telah lama dilupakannya itu.  Beliau pergi ke tempat beliau letak kaktus tersebut dan wanita ini amat terperanjat apabila melihat pokok kaktus yang hodoh dan berduri satu ketika dulu telah tumbuh pula bunga yang cantik.  Dan daripada ulat yang terselindung itu telah bertukar menjadi rama-rama yang cantik.

Kejadian itu membutakan beliau berfikir. Allah sentiasa melakukan semua perkara dengan betul.  Cara Allah sentiasa cara yang terbaik walaupun kelihatan semuanya salah. 

Jadi jika anda memohon sesuatu dan menerima yang lain dari Allah , PERCAYALAH,  pastinya Allah sentiasa mengurniakan apa yang kita pinta itu pada masa yang sesuai.  Apa yang anda pinta tidak semestinya apa yang diperlukan?  Allah tidak gagal memenuhi permintaan hambaNYA.

Oleh yang demikian teruskan berdoa tanpa ragu dan mengeluh DURI hari ini adalah BUNGA hari esok.

Sekian, jumpa lagi.

Wasalam.