Erti sebuah kasih sayang, tolak ansur, tanggungjawab dan perpaduan

12:36 am Yang Tersirat...Tersurat

Askm dan Salam Sejahtera dan Salam Muhibbah

Apa khabar anda hari ini?  Semoga sihat dan dirahmati Allah sentiasa.

Entah kenapa hari ni rasa kurang bermotivasi untuk menulis.  Banyak perkara yang nak ditulis tapi entah lah…..Blurrr….sgt2. Kepala sakit sbb banyak kerja yg remeh temeh terpaksa diselesaikan…boringgnyaaaa….

Ok lah…Ktom tada terbaca tulisan saudara Hishamuddin Rais di blog beliau dan amat tertarik dgn apa yg beliau utarakan….

Disini Ktom paste kan salah satu artikel beliau yg mungkin mendapat pelbagai pandangan dan pelbagai perspektif dari anda semua kerana bagi Ktom setiap manusia mempunyai pandangan yg hampir berbeza antara satu sama lain.

Binatang, saya dan kemanusiaan oleh Hishamuddin Rais berbunyi spt ini :-

Dari kecil lagi saya telah meminati haiwan dan burung. Saya tidak tahu dari mana sifat cintakan binatang ini datang. Mungkin dari ayah, kerana ketika membesar saya sentiasa melihat ayah saya dengan burung terkukurnya. Bukan untuk bertanding kemerduan suara tetapi sebagai penyeri rumah Melayu. Sangkar terkukur ini tersangkut di bawah atap di tepi tangga.

Saya masih ingat, kali pertama saya berpeluang memiliki haiwan peliharaan ialah apabila saya telah memasuki sekolah darjah dua. Saya diberi kebenaran dan tanggungjawab untuk membesarkan seekor anak kucing betina. Si dia ini – namanya Comel menjadi ‘pet animal‘ saya yang pertama.

Semenjak itu, saya terus memiliki pelbagai jenis macam binatang ‘peliharaan’. Saya juga pernah mendapat kerbau yang diagihkan oleh kerajaan sebagai usaha untuk ‘mengkerbaukan’ orang-orang Jelebu. Kerbau saya ini akhirnya mati setelah hampir tiga tahun bersama saya. Dia dihinggapi sakit mulut. Bayangkan berapa banyaknya derai air mati apabila saya melihat kerbau saya dikebumikan

Pada tahun 1968, di tengah kehebatan pop yeah yeah dan The Beatles, saya memelihara seekor musang – Rascal. Ketika ini saya tinggal di asrama. Rascal saya simpan di dalam kotak dan diletakan di bawah katil. Tidak susah hidup dengan si Rascal ini. Dia cukup jinak dan akan mengekori ke mana saya pergi. Perangai musang sama seperti anjing. Siang ianya tidur. Malam dia menjadi segar, berjalan dan berlari mencari ulat-ulat. Paling mengembirakan untuk Rascal ialah apabila hujan turun. Ini kerana sesudah hujan ada ribuan kelkatu akan berterbangan. Saya tidak menyangka yang musang saya cukup suka memakan kelkatu.

Musim sekolah bercuti Rascal saya bawa pulang ke kampung. Dia tidur di dalam sebuah bilik kosong. Saya hanya menyediakan buah-buah pisang yang ranum untuk makanan. Seperti biasa waktu siang dia tidur dan malam si musang ini akan merayau-rayau. Satu pagi saya melihat bilik Rascal kosong. Dua hari saya tercari-cari. Akhirmnya saya diberitahu yang musang saya telah dibunuh oleh tetangga yang menyangka Rascal ini seekor musang liar. Saya merasa begitu sedih di atas kematian Rascal. Lama juga saya mencari-cari anak musang baru sebagai gantinya. Tetapi gagal.

Comel kucing pertama saya akhirnya menjadi arwah – mati tua. Zaman terus berubah, sesudah kematian Rascal dan Comel saya tidak ada lagi binatang peliharaan. Ketika ini saya telah memasukki zaman remaja Woodstock dan hippie, lalu agak segan untuk memiliki binatang. Mungkin akan dilihat oleh teman-teman sebagai ‘tidak cool’ dan ‘tidak rock’.

Apabila masuk ke kampus saya menginap di Kolej Kelima Universiti Malaya. Di Kolej ini ada tertera undang-undang yang melarang para pelajar dari membawa binatang peliharaan ke dalam kawasan kolej. Saya tidak ambil pusing tentang peraturan ini kerana ketika ini politik kampus lebih menarik dari memelihara musang atau pun kucing.

Bila saya meninggalkan Malaysia dan menginap di Melbourne Australia dunia kehidupan saya telah berubah. Saya kini orang pelarian politik yang tidak menentu di mana akan menetap. Jadi memelihara binatang adalah satu pekara yang mustahil walaupun saya cukup berminat apabila melihat anak-anak pelajar di kota Melbourne memiliki anjing-anjing peliharaan mereka.

Nasib saya agak baik kerana di rumah tempat saya menumpang telah ada seekor ibu kucing yang sedang hamil. Apabila dia bersalin, dua ekor anak jantannya menjadi peliharan saya. Seekor saya beri nama Fluffy dan seekor lagi Kucing. Bila saya dihalau keluar dari Australia, kedua-dua kucing ini saya tinggalkan di bawah jagaan kawan saya.

Pengalaman meninggalkan Fluffy dan Kucing di Melbourne ini amat menyedihkan. Lebih sedih dari meninggalkan seorang kekasih. Jika kekasih yang ditinggalkan dianya masih terus dapat dihubungi setidak-tidaknya dengan surat atau talipon. Akhirnya ingatan terhadap Fluffy dan Kucing menjadi luntur dimakan masa. Kini yang tinggal hanya kenangan. Lalu saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak akan memelihara apa-apa binatang dalam perjalanan hidup yang masih belum menentu.

Sayang sekali, janji ini hanya tinggal janji kerana pada satu pagi ketika saya duduk di sebuah cafe di Karachi seekor anak kucing telah melintas betul-betul di bawah meja saya. Ini panggilan karma. Lalu saya bawa pulang si jantan kecil pulang dan saya namakan Krishna – Tuhan Hindu.

Krishna ini cukup terdidik. Sesekali saya bawa dia ke dalam kampus Karachi Universiti, yang tidak berapa jauh dari tempat saya tinggal. Kadang-kadang apabila saya berjalan meninggalkan Karachi, Krishna saya tinggalkan dalam kampus. Pada satu musim bunga saya telah berkhemah dihujung minggu di tepi pantai Hawks Bay. Krishana yang kini telah menjadi anak muda saya tinggalkan dengan teman-teman di dalam kampus. Ini kesilapan besar kerana pada satu pagi satu gerombolan anjing liar telah menyerang Krishna.

Saya makamkan Krishna di kawasan pokok berduri di sebelah bangunan International Hostel di Karachi Universiti. Berderai-derai lagi air mata apabila saya melihat kedua kakinya patah dan tulangnya terkeluar. Sekali lagi saya berjanji pada diri saya yang saya tidak akan memelihara apa-apa binatang lagi.

Di Eropah saya kotakan janji saya itu. Saya tidak memiliki apa-apa binatang peliharaan. Saya membebaskan diri dari terikat. Hanya apabila saya pulang ke Malaysia dua puluh tahun kemudian saya kembali memiliki kucing-kucing peliharaan. Bila saya ditangkap pada tahun 2001 di pejabat, saya di Bangsar Utama, ada 7 ekor kucing yang tinggal di dalam pejabat saya. Ini termasuklah Yadi seekor kucing jantan hitam yang buta sebelah matanya.

Saya telah diberitahu yang Yadi telah meninggal dunia ketika saya memasukki tahun kedua di Kamunting. Kucing-kucing yang lain telah berpindah mencari tempat-tempat baru untuk berteduh kerana pejabat itu telah diambil alih. Apabila saya dibebaskan dari Kamunting, saya telah keluar bersama Lucky. Lucky seekor anak kucing jantan telah saya temui basah kuyup dalam longkang dalam kawasan Blok 2B tempat saya ditahan.

Tahun lalu Lucky juga telah meninggal dunia, walaupun umurnya agak muda. Dia jatuh sakit mungkin kerana tidak selesa dengan hiruk-piruk Bangsar Utama yang amat berbeza dari senyap sunyi kawasan Kamunting.

Saya rasa manusia dengan binatang memiliki satu hubungan yang paling intim. Saya percaya kita sebagai manusia masih dapat belajar tentang kehidupan dari binatang-binatang ini. Saya menganggap tangga ukur untuk melihat tamadun sesebuah negara bangsa ialah dengan melihat bagaimana anak-anak kecil, orang tua, orang cacat dan binatang dalam tamadun itu dipelihara. Dalam tamadun yang binatang-binatang peliharaan seperti kucing dan anjing diganasi pasti tamadun itu tidak akan segan silu untuk mengganasi warganya.

Hari ini saya memiliki tiga ekor kucing dan dua ekor anak anjing. Kesemua mereka tinggal serumah dengan saya. Anak-anak anjing ini adalah penghuni baru yang akan menginap di rumah saya. Seekor bernama Ramzan dan seekor bernama Puasa. Ini kerana mereka datang pada hari puasa pertama yang lalu.

Apa yang paling menarik untuk saya kali ini ialah hubungan kucing-kucing ini dengan Ramzan dan Puasa. Dari apa yang kita selalu dengar kucing dan anjing akan selalu bergaduh. Ini sebenarnya adalah mitos. Pergaduhan anjing dengan kucing ini saya lihat sebagai hasil dari satu konstruk sosial. Apabila anjing dan kucing hidup membesar dalam rumah yang sama dan makan dari pinggan yang sama, saya yakin tidak mungkin mereka akan bergaduh.

Bila saya melihat Ramzan dan Puasa mula bergurau dengan kucing-kucing saya, maka terlintas dalam fikrah saya bahawa binatang-binatang ini adalah metapora Melayu, Cina dan India. Perasaan kemelayuan, kecinaan dan keindiaan ini adalah mitos dan hanya wujud hasil dari satu konstruk sosial. Sosial konstruk yang kita bersama wujudkan inilah yang menjadikan kita begitu prasangka terhadap satu sama lain – sama seperti mitos kucing dengan anjing.

Kucing dan anjing-anjing saya ini yang akan membesar bersama. Saya harapkan mereka tidak akan memiliki apa-apa prasangka kerana mereka tinggal dan menginap di bawah bumbung yang sama. Pada awalnya proses penyesuaian akan mengambil masa tetapi dari apa yang saya lihat konstruk sosial dua jenis binatang yang sering bergaduh ini sedang saya ubah.  — —the end

Kasih sayang adalah sesuatu yang amat bernilai bagi kita.  Tanpanya hidup tidak akan ada apa2 makna lagi.  Ianya lahir dari sebuah perasaan yg terbina hasil drp pelbagai situasi.  Perasaan ini bukan boleh dibuat atau direka. Ianya akan datang sendiri hasil daripada keakraban dan persefahaman.

Tanpa kasih sayang hidup tidak akan bermakna.  Tanpa kasih sayang juga kita tidak akan bermotivasi untuk melakukan sesuatu.  Tanpa kasih sayang juga kita tidak akan hidup harmoni an setiap kerjabuat yang kita lakukan tidak akan memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

Tanpa kasih sayang tidak akan ada persefahaman. Tanpa persefahaman tidak ada keharmonian dan bila tidak harmoni, keadaan akan menjadi kelam kabut dan tidak wajar.

Anda mesti ada definasi yang tersendiri tentang kasih sayang dan ini bergantung kepada bagaimana anda lihat kasih sayang itu daripada pelbagai perspektif. Jadi…jom kongsikan disini pandangan anda tentang hasil tulisan beliau itu.  Segala pro dan kontra diharapkan akan memberi manafaat kepada kita semua insyaallah.

 

Sekian, jumpa lagi.

Wasalam

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Furl
  • NewsVine
  • Reddit
  • YahooMyWeb
7 Responses
  1. Bent :

    Date: July 28, 2007 @ 6:58 pm

    Wow…menarik dan penuh makna..ada kalanya sedih bila kita kehilangan apa yang kita sayang..binatang adalah hidupan kurniaan tuhan yang tidak terhingga nilainya..perbuatan mengania binatang adalah kejam..selagi ianya tidak membahayakan kita maka binatang ini juga berhak untuk terus hidup di muka bumi..

  2. ktom08 :

    Date: July 29, 2007 @ 10:14 pm

    ya Bent, jika semua manusia dimuka bumi ini yang hatinya kaya dengan kasih sayang maka amanlah dunia ni… namun apakan daya semuaa yang ada di dunia ini ada sifat berlawanannya yang tersendiri umpamanya..kaya miskin, malas rajin, sayang benci dll.

    Semua benda yang bernyawa berhak untuk terus hidup tanpa gangguan.

    Artikel ni memang bagus utk dikongsi bersama.

  3. zool :

    Date: July 29, 2007 @ 11:13 pm

    Hm.. Hishamuddin Rais nie memang seorang manusia yang cukup berbeza..
    saya ada terbaca dalam satu artikel yang beliau kini hidup dengan bertemankan binatang peliharaannya sahaja dalam umur yang telah lebih setengah abad…
    dan beliau gembira dengan kehidupannya…

  4. ktom :

    Date: July 30, 2007 @ 1:09 pm

    hehehe zool, itu adalah lebih baik dari hidup bertemankan org yang tak suka kita….

  5. zool :

    Date: July 30, 2007 @ 9:13 pm

    betullah ktom…
    kat sini nak beritau ktom yang saya telah mengetag ktom…
    tengoklah post baru kalau nak tau ape dia..

  6. raduan :

    Date: August 5, 2007 @ 9:16 pm

    ktom,

    Perasaan kasih dan sayang merupakan pekara pokok dalam kehidupan,lebih lebih lagi bila kita kesaorangan terbuang serta mengalami kesakitan.kita perlukan teman untuk hidup untuk kita ceritakan sesuatu, memberi sesuatu dan akhirnya meninggalkan sesuatu,kita juga mudah berjanji untuk tidak melakukan sesuatu,tetapi kita terpaksa melupakan janji kita,kerna ada suatu perasaan halus yang bersarang dalam diri kita ia itu rasa kesian dan tak sampai hati,tapi kekadang orang sampai hati untuk melakukan sesuatu kerana ingin mendapatkan sesuatu. biarlah…kononnya ‘berilah sesuatu untuk mendapatkan sesuatu’…saya rasa ktom selalu dengar ayat tu..oklah,
    maaflah… komen saya agak pendek sikit kali ini.

  7. ktom08 :

    Date: August 5, 2007 @ 10:11 pm

    Raduan,
    apa khabar? Sesekali muncul dgn memberikan komen yg pendek tp padat dan penuh bermakna.

    Apa lg yg boleh diharapkan pada seorang insan selain daripada menunaikan janji tp kita tak boleh buat sesuatu utk mendapatkan sesuatu. Itu selfish namanya….jgn pentingkan diri sendiri. kita kena ada empati dlm diri kita…hehehe..mungkin ada sesuatu yg tersirat yg sukar utk diluahkan ni…..

Leave a Comment

Your comment

You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>

Please note: Comment moderation is enabled and may delay your comment. There is no need to resubmit your comment.